Total Pageviews

11.4.12

Suatu Hari Nanti

Adila merenung kertas putih di hadapannya. Kekadang dia tersenyum, mencoret sesuatu di atas lembaran itu. Kemudian dia berhenti, memandang ke langit, memandang ciptaan Ilahi itu lama. Dia menarik nafas dalam. Sesungguhnya, apa yang ada dalam fikirannya adalah sesuatu yang membahagiakan perasaannya. Dia kembali ke lembaran putih itu. Tulisan itu disambung bersama lorekan kecil berbentuk rama-rama. Rama-rama, simbolik dirinya, yang terbang mengembara, mencari bunga yang berkembang mekar untuk persinggahan. Setiap persinggahan memberi kesan yang berlainan. Setiap persinggahan ada pengajaran di sebaliknya. Setiap persinggahan mengajar hati tentang realiti kehidupan yang sebenarnya. Kadang-kala, sayapnya lelah saat harus melawan arus angin mendatang. Kadang-kala, hanya statik menurut tiupan angin. Bebas berterbangan, namun bahaya sang burung sentiasa ada dalam ingatan. Sang burung itu bijak, tahu mencari kesempatan dalam kelalaian. Tahu mencari ruang dalam kesesatan. Tahu mencari tempat memulakan umpanan. Apa yang penting adalah sentiasa ada dalam ingatan, kebebasan jangan sekali –kali dijadikan punca kealpaan.

“Cik kak!” lamunan Adila terhenti. Empunya suara dicari.
“Amboi Cik Ila, mana salam awak?” Adila mengusik.
“ Ala Ady..Nak perli pulak. Assalamualaikum Cik Ady..” Halilah tersengih.
“Janganlah terasa Ila..Tapi memang baik pun bagi salam kan?” Adila mencubit lengan temannya itu perlahan.
“Tak ada maknanya terasa. Apa pulak kisah hari ni?Tengok sikit..” Ila mengambil lembaran di hadapan Adila. Dia tersenyum.
“Tak boleh puitis lagi ke? Kau kan, macam orang tengah angau tau. Tapi angau pada bayangan yang entah wujud ke tak.” Halilah meletakkan kembali lembaran itu di tempatnya.
“Aku tak kata dia ada. Tapi ada saja kemungkinan yang dia wujud. Cuma dia tak ada di depan mata kita. Mungkin juga, dia tak ada sekarang, tapi mana tahu suatu hari nanti.” Adila berhujah panjang.
“Tak habis-habis dengan ‘suatu hari nanti’ kau tu. Asalkan tak kacau pelajaran, maintain dean list, aku sokong je karya-karya seni kau ni. Jom, dah nak maghrib ni.” Halilah membantu temannya itu mengemas barangan di atas meja.
“Terima kasih Ila. Kau je yang faham aku tau. Orang lain mesti anggap aku ni kuat berangan.” Mereka melangkah seiring.
“Tapi kau memang kuat berangan pun.”

Kelas hari ini tamat lebih awal daripada yang sepatutnya. Adila masih tidak mengatur apa-apa rancangan hujung minggu ini. Halilah mencadangkan mereka keluar menonton wayang, namun hatinya tidak tergerak untuk itu. Dia ingin menghabiskan masanya di pantai. Tetapi, mana hendak dicari pantai di Bandar ini? Kolam renang ada. Tak mungkin bersantai di tepi kolam renang memberi kesan yang sama dengan pantai bersama ombak dan angin yang berderu menyejukkan hati. Adila terdiam seketika, menghirup Nescafe ais yang dipesannya tadi. Keliru tentang masa yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Berada di tahun akhir, masa sangat-sangatlah perlu dihargai. Bukan setakat masa, kawan-kawan, suasana persekitaran, pelajaran, semuanya lah. Semuanya ini akan ditinggalkan. Yang pasti, setiap yang ditinggalkan pasti dirindui, pasti diingati, tak kiralah yang menyakitkan atau menyenangkan hati.

“Assalamualaikum. Nak tumpang tanya sikit boleh.” Adila tersentak.
“Waalaikumsalam. Boleh-boleh.” Adila membetulkan duduknya.
“Saya tengah cari bilik Professor Ibrahim. Daripada tadi saya pusing-pusing, tak jumpa.” Lelaki itu memberi penjelasan.
“Ohh. Macam mana awak nk jumpa, salah bangunan ni. Tak pe, saya tunjukkan.” Adila menghirup titis-titis akhir Nescafe ais dan mencapai beg.
“Awak tak sibuk ke?”
“Tak. Saya baru habis kelas. Tengah fikir nak habiskan masa dengan apa nanti.”
“Dan awak habiskan masa awak dengan fikir je.” Lelaki itu tergelak kecil.
“Sekurang-kurangnya, masa saya masih digunakan untuk sesuatu yang berfaedah,iaitu berfikir. Kan?” Adila cuba membela diri. Dia membawa lelaki itu melalui celah-celah bangunan.
“Terlupa nak tanya nama.Apa nama awak? Saya Ilham.”
“Saya Adila. Itu bilik Prof.” Adila menunjuk ke arah bilik yang tertutup rapat itu.
“Saya tak rasa prof. ada. Sebab selalunya, kalau prof. ada, pintu tu tak akan tertutup rapat.” Adila meneka. Ilham tersengih.
“Tak pe, saya pergi cuba ketuk dulu pintunya. Kalau tak ada yang sahut, tak adalah.”
“Alright then. Saya pergi dulu.” Adila meminta diri.
“ Terima kasih Ady….” Adila merenung tajam. Dia tidak memperkenalkan dirinya sebagai Ady.
“Sorry, Adila. Terima kasih.” Adila mengangguk dan mula mengatur langkah.

“Terima kasih Ady..” Kata-kata itu terus bermain-main di fikirannya. Adila terdiam, mencari-cari sesuatu. Dia merasakan sesuatu, seakan ada yang dia terlepas pandang. Dia mencapai buku ungunya. Helaian demi helaian diselak. Dia tidak tahu apa yang dicari, tapi dia seakan-akan mendapat bayangan, apa yang dicari itu ada di dalam buku kecilnya itu. Namun, dia hampa. Hingga ke helaian terakhir, apa yang dicari tidak dijumpai. Yang ada di dalam buku itu hanyalah tentang Sinan. Dia mengalah, mungkin hanya mainan perasaan. Dia mengemas katil, bersedia untuk tidur. Lampu bilik dimatikan. Mata itu cuba dilelapkan. Seperti biasa, apa yang berlaku sepanjang hari dinilai semula. Yang baik diteruskan. Yang buruk, perlulah ditinggalkan. Saat mata hampir terlelap, satu suara seakan kedengaran. Dia kenal suara itu, namun memori fikirannya terhenti. Dia terlelap.

“Ady, jomlah ikut aku pergi tengok wayang.” Halilah cuba memujuk Adila.
“Aku malaslah Ila.” Adila cuba mengelak.
“Please, bila lagi kita nak lepak. Nanti dah sibuk dengan projek, assignment. Teman aku,please..” Adila kalah dengan rengekan temannya itu.
“Baiklah Ila. Aku siap kejap. Nanti aku turun.” Halilah tersenyum riang. Dia menunggu Adila di ruangan parkir kereta. Dalam 10 minit, Adila turun.
“Jom.” Halilah memaut lengan Adila, dan mereka melangkah ke hentian bas. Sedang menunggu, sebuah kereta berhenti di hadapan mereka.
“ Assalamualaikum. Nak saya tumpangkan?” Adila menjenguk lelaki yang berada di dalam kereta itu. Suara itu seakan familiar.
“Eh, Ilham. Dari mana nak ke mana?” Halilah terkejut, tidak mengenali lelaki itu.
“Jumpa Professor Ibrahim tadi. Betullah awak cakap semalam, prof. tak ada. Jadi saya jumpa prof. tadi. Jom, saya hantarkan.”
“Tak susahkan ke?”
“Tak lah.” Adila dan Halilah masuk ke dalam perut kereta. Dalam perjalanan, mereka berborak. Makin lama makin rancak. Halilah hanya mencelah sekali-sekala. Tidak mahu mengganggu perbualan mereka. Tiba di mall, Halilah mengajak Ilham untuk menyertai mereka menonton. Ilham tidak menolak, memarkir kereta dan bersama mereka masuk ke dalam.
“Korang nak tengok cerita apa?” Ilham memerhatikan poster-poster yang ada.
“Kau nak tengokcerita apa Ila?” Adila menjeling Halilah.
“Kau dengan Ilham tunggu sini, biar aku yang beli.” Halilah tersengih dan memasuki barisan panjang untuk membeli tiket.
“Banyak benda kita sembang tadi kan. Macam dah kawan lama je.” Ilham tersenyum.
“ Betul. Kelakarkan, macam mana boleh sembang semua benda. Awak tak rasa pelik ke?” Adila mengerutkan dahi,seakan memikirkan sesuatu.
“Nak pelik apa pula. Biasa je. By the way, adik awak tu boleh terima tak kursus dia walaupun tak minat?” mereka meneruskan perbualan mereka di dalam kereta tadi tentang Adiha,adik Adila.
“Nak buat macam mana. Walaupun sekarang dia macam paksa diri, saya yakin…”
“suatu hari nanti dia akan terima..” Ilham memotong ayat Adila.
“ Macam mana awak tahu apa yang saya nak cakap?” Adila berasa pelik. Itukan ‘trademark’ dia. Tapi kali ini orang lain pula yang melafazkan.
“Apa yang awak nak cakap?” Ilham juga pelik dengan persoalan Adila.
“Korang! Nah, satu tiket untuk Ady, satu untuk Ilham.” Halilah membahagikan tiket yang dibeli. Adila menarik Halilah ke tepi.
“Ila, aku rasa ada yang peliklah” Adila berbisik di telinga Halilah.
“Apa yang pelik?Ilham?Dia orang jahat ke?” Halilah kaget.
“Ke situ pula dia. Ilham tu kan, macam Sinan.” Halilah memandang Adila tajam.
“Sinan??” Suara Halilah yang agak kuat menarik perhatian Ilham yang berada tidak jauh dari situ.
“Siapa Sinan?” Ilham meminta kepastian.
“Tak ada siapa-siapa. Tolong belikan popcorn dengan air boleh?” Halilah menghulurkan duit kepada Ilham. Namun duit itu ditolak. Ilham pergi ke tempat makanan ringan dijual.
“Babe, please keluar daripada dunia tu. Kita sekarang dalam reality,bukan fantasi tau. Walaupun kejap lagi kita nak tengok movie yang agak fantasi la juga. Tapi please, kita bukan dalam novel kau.”
“Aku tak cakap macam tu. Tapi, cara Ilham sama dengan Sinan.”Adila cuba meyakinkan Halilah.
“So siapa Fatihah? Aku ke kau?” Halilah cuba mengusik.
“Ila..aku tak main-main tau.” Adila seakan kecewa.
“Ok. Tapi, Sinan tu kan watak fantasi kau. Mana mungkin dia wujud dalam reality..”
“Tapi tak mustahil kan..”Adila memandang ke arah Ilham.
“So,kau nak cakap suatu hari nanti,yang kau selalu sebut tu,hari ni lah?”

Perkenalan mereka menginjak usia 4 bulan. Daripada kenalan biasa, hubungan mereka berubah menjadi lebih akrab. Namun keakraban itu tidak pernah lebih daripada gelaran teman. Seperti biasa, pada waktu petang,selepas kelas, Adila akan duduk mengambil angin di tepi padang. Angin bertiup sepoi-sepoi, sedikit sebanyak membantu Adila mencari idea untuk menyambung tulisannya. Sepanjang 4 bulan ini, hubungan Sinan dan Fatihah ternyata bahagia sebagaimana dirinya. Sambil tersenyum, dia menulis bait-bait perkataan yang bermain di otak. Sesekali, Adila mendongak ke langit. Kelihatan seekor burung terbang agak rendah, berpusing-pusing mencari tempat untuk berhinggap. Tiba-tiba, burung itu jatuh akibat seketul batu yang dibaling oleh kanak-kanak kecil. Kejadian itu sangat mengejutkan Adila. Dia berlari ke arah burung yang nyawa-nyawa ikan, berlawan dengan takdir bahawa ajalnya akan tiba. Namun, kuasa hanya pada Dia. Dalam tempoh 5 minit, burung itu terkujur kaku. Bangkai itu diangkat ke tepi padang. Tanah dikorek,dan jasad itu ditanam. Aksinya itu diperhati oleh kanak-kanak kecil yang membaling batu ke arah burung itu tadi. Adila tidak mampu memarahi mereka, kerana mereka hanyalah anak kecil yang hanya tahu memcari keseronokan dalam kehidupan. Adila cuba menerangkan betapa perlunya kita menghargai dan menghormati hidupan lain, namun mereka seakan tidak faham dan meneruskan permainan. Adila membasuh tangan dan kembali ke hasil tulisannya. Dia memandang coretan itu lama.

“Aku tengok dah lama kau tak menulis. Kering idea ke?” Halilah menghampiri Adila yang berbaring,merenung siling. Adila tidak terus menjawab.
“kenapa dengan kau ni Ady?Dulu waktu kau sibuk menulis, kau angaukan Sinan. Sekarang, takkan angaukan Ilham pula?” Halilah cuba mengusik, ingin menceriakan suasana.
“Aku takut nak teruskan cerita tu..” Adila menjawab perlahan.
“Eh, bukan kau nk siapkan sebelum grad ke?” Halilah agak terkejut dengan penyataan Adila.
“Kau tahu kan, Ilham dengan Sinan macam orang yang sama. Perjalanan kisah aku dengan dia pun lebih kurang kisah Sinan dengan Fatihah..” Adila bangun dari pembaringan.
“So,apa kena mengena dengan kau nak habiskan cerita tu?” Halilah masih tidak mengerti.
“Aku tak tahu nak buat happy ending atau sad ending. Aku macam takut. Kalau aku buat yang gembira, tapi yang sebaliknya jadi, mesti aku sedih yang amat. Tapi kalau aku buat ending sedih,dan macam tu lah akhir hubungan aku dengan Ilham,aku mesti sedih juga. Aku takut..” Adila memejam matanya rapat, mencari kekuatan dari dalam.
“Ady, kau tahu kan aku selalu sokong karya-karya kau.”
“Tahu..” Adila menjawab perlahan.
“Tak bermakna bila sesuatu yang kau tulis jadi kenyataan,semua yang kau tulis akan jadi kenyataan. Semua tu kebetulan.” Halilah cuba menyusun ayat.
“Maksud kau apa? Kebetulan je Ilham sama macam Sinan?”
“ Yang layak menulis perjalanan hidup seseorang manusia hanya Allah, Ady. Kau kena ingat tu. Apa yang jadi selama ni, kebetulan. Kebetulan jalan cerita yang kau karang, sama dengan perjalanan hidup kau sekarang. Tapi kau tak boleh anggap yang perjalanan tu sebab daripada karya kau. Semua tu daripada Allah.” Adila menarik nafas dalam.
“Ingat, jodoh,pertemuan,ajal dan maut, semua Allah dah tentukan sebelum kita wujud dalam dunia ni lagi. Pertemuan kau dengan Ilham, Allah yang aturkan. Sama ada selepas ni korang akan terus bersama, atau berpisah, itu pun hak Allah. Kita tak ada kuasa pun untuk meneka apatah lagi meramal apa yang akan jadi masa depan.”

Nasihat Halilah benar-benar memberi kesan pada hati Adila. Dia terlalu terbawa-bawa dengan perasaan. Teruja apabila Sinan ternyata wujud di alam ini. Adila teringat akan kejadian burung tempoh hari. Pada mulanya, burung itu terbang megah, bebas mengibarkan sayap. Namun, sekelip mata, burung itu jatuh rebah ke bumi. Sayapnya lumpuh.

“Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan(kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
[67:19]

Adila mengucap istighfar atas khilafnya. Ternyata dia lalai dan alpa tentang perkara penting itu. Betapa secara halus, Dia menyampaikan segala nasihat dan teguran. Taksub dengan pemikiran sendiri ternyata menghanyutkan perasaannya. Adila tahu, dia harus meletakkan had dalam perkara itu. Adila memandang langit yang tidak bertepi.
“Ternyata, suatu hari nanti yang ku nanti, adalah cinta daripada-Mu, Ya Rabb. Tiada yang lebih sempurna daripada cinta-Mu.”

“Ila!” Adila menjerit memanggil Halilah yang berjalan melepasi biliknya.
“Eh, mana salam kau Cik Ady..?”
“Sorry, Assalamualaikum Cik Ila..” Adila tersengih melayan karenah Halilah.
“Ada apa macam seronok sangat ni?” Halilah masuk ke bilik Adila dan duduk di katilnya.
“ Tengok ni..” Adila menunjukkan senaskhah kertas putih, elok ber’binding’.
“Eh, dah siap. Boleh aku baca?” Halilah cuba mencapai naskhah itu daripada tangan Adila.
“Nanti,bila dah jadi buku, aku beri satu percuma untuk kau.”
“Wah. Ada mana-mana publication nak ambil cerita kau ni ke?” Adila segera membuka lap top dan menunjukkan satu email kepada Halilah.
“Ady!! Congrate!!” Halilah menjerit kegembiraan sebaik melihat email mengenai tawaran untuk menerbitkan novel Adila.
“ Aku pun terkejut tau. Aku cuba-cuba je hantar, Alhamdulillah dapat.” Adila tersenyum gembira.
“Ilham dah tahu pasal ni?”
“Ilham? Aku dah mesej dia tadi.” Adila masih tersenyum lebar.
“Seronoknya. Paper dah habis, novel dapat publish. I’m happy for you.” Halilah memeluk Adila erat.
“Terima kasih pada kau juga yang banyak beri semangat dan bimbing aku.”
“Kita keluar makan-makan? Sambut sikit.” Adila mengangguk setuju.
“Kau ajaklah Ilham,kita makan sama-sama.” Halilah memberi cadangan.
“ Tak naklah Ila.”
“Ada apa-apa yang kau tak cerita pada aku ke Ady?” Halilah dapat mengecam sesuatu yang tidak kena pada Ady.
“Ilham confess semalam”
“Wow, kegembiraan berganda ni. Ada yang naik pelaminlah tak lama lagi.” Halilah tergelak kecil.
“I don’t think Ilham fikir ke tahap tu.” Adila cuba menenangkan keseronokan Halilah.
“Tapi, kau memang suka dia pun kan. Dia kan Sinan kau. Terima je lah dia jadi teman lelaki kau.” Adila menjeling Halilah.
“Aku mengharapkan suami,bukan teman lelaki. Kan itu prinsip kita?”
“Ye. Kalau macam tu,terus teranglah dengan dia. Biar jelas,tak jadi dendam.”
“InsyaAllah..” Adila menjawab ringkas.
“By the way, I think he will be a good hubby for you. Doa banyak-banyak, sesungguhnya yang tahu hanya Dia.” Halilah sempat berbisik ke telinga Adila sebelum melangkah keluar dari kamar kecil itu.

No comments:

Post a Comment