Total Pageviews

28.6.13

Catatan Musim Panas..


Di sangkar kecil ini,aku melihat dunia penuh cabaran dan pancaroba. Aku melihat langit yang terbentang luas, bersama burung yang berterbangan megah berkicauan. Aku melihat berubahnya musim dan suasana,berubahnya tingkah laku dan cara manusia. Saat pertama melangkah, hati sayu dan berat. Mengapa aku terpilih di kalangan mereka yang ada. Mengapa aku yang perlu berjauhan dengan mereka yang aku sayang. Mengapa aku?
Aku tidak punya jawapan sehingga sekarang melainkan, setiap yang kita lalui sudah ditetapkan. Dan ketetapan itu adalah yang terbaik dibandingkan dengan impian dan perancangan kita yang rapuh dengan angan-angan. Dalam diam, aku mula menerima ketetapan, melangkah kuat mengharung rintangan. Teman ramai di sekeliling, membantu tidak kira keadaan dan masa. Selalu ada bila hati merindukan yang jauh. Makin yakin untuk terus melangkah jauh. Angan-angan mula terbina semula bersama impian kosong yang makin meronta.
Putih salju yang menyelaputi bumi membuat hati terpana dengan kebesaran Ilahi. Bagaimana kita berada di bumi yang sama tetapi menyaksikan pertukaran musim yang berbeza. Datangnya salju selepas pohon hilang segala dedaunnya. Suasana yang keperangan kini bertukar putih seputihnya. Walau jam menghampiri 12, namun langit itu seakan bersinar dan bercahaya menurunkan butir-butir ais yang nyaman. Kini aku tahu bagaimana rupa sebenarmu salju,sehingga lupa bagaimana rupamu dahulu yang pernah berada di benakku. Dalam keseronokan bermain salji, aku juga sedar, tak semua yang cantik akan kekal cantik dan sesuatu yang kita suka akan kita benci sekelip mata. Saat salju bertukar warna, aku mula berharap aku takkan bertemu salju semula. Jahatnya aku padamu salju..
Saat matahari mula menunjukkan sinarnya semula, bunga-bunga mula mengembangkan kelopak yang dahulu tersimpan rapi, takut dengan kedinginan suasana. Bumi yang putih bertukar warna sekali lagi tetapi kali ini banyak tona. Serangga mula kelihatan. Lebah keluar mencari bunga yang sedang berkembang mekar. Rerumput mula keluar dengan liar, memenuhi segenap ruang tanah yang ada. Manusia mula kelihatan merata-rata. Aku mula menghargai matahari yang memancarkan sinarnya. Hangat yang terasa di kulit ini ibarat suatu rahmat yang tak terungkap dengan kata-kata.
Suhu meningkat naik sesuai dengan suasana. Malam kini menjadi singkat berbanding siangnya. Panas matahari mula membahang. Sekali lagi, suka bertukar benci. Wahai matahari,berlindunglah di sebalik awan agar aku tidak terlalu kepanasan. Mata ditutup saat langit masih bercahaya dan mata dibuka cahaya masih ada. Hari terasa panjang menunggu detik pulang ke tanah air. Musim panas yang selalu dirasai di awal dan ditinggalkan kerana pulang ke kampung halaman.
->Saat jam 8 malam

Tiba di Malaysia untuk percutian tiga bulan, terasa masa cepat berjalan. Hangatnya Malaysia bukan hanya gossip dan politik semasa tetapi juga suhunya. Malu rasa hati ingin meluahkan betapa panasnya terasa kerana takut digelar ‘lupa diri’ pula. Tetapi percayalah, jika pernah merasai musim sejuk dan bunga, panas di Malaysia bukan panas yang biasa-biasa. Aku tetap aku, anak melayu yang hanya merantau. Tiba saat aku akan pulang ke gagang. Hangat Malaysia inilah yang aku rindu bila terpaksa pulang ke Negara asing itu semula.

No comments:

Post a Comment